Monday 17 September 2012

CONTOH KARANGAN UCAPAN UPSR


Tajuk 1 : Ucapan Perpisahan Guru

            Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis, Yang berusaha Tuan Guru Besar, Encik Ramli bin Abu Bakar, Yang diraikan dan dikasihi, Cikgu Kamal, guru-guru yang disayangi dan rakan-rakan sekalian.
            Saya mewakili rakan-rakan sedarjah ingin menyatakan perasaan amat sedih dan pilu kerana terpaksa berpisah dengan seorang guru yang kami sayangi. Beliau yang saya maksudkan ialah Cikgu Kamal.
Guru-guru dan rakan-rakan sekalian.
            Cikgu Kamal akan menjalankan tugas sebagai pendidik di sekolah baharunya iaitu Sekolah Kebangsaan Tawau, Sabah mulai minggu hadapan. Kami suka akan sikap Cikgu Kamal kerana beliau seorang yang baik hati dan bertanggungjawab. Di samping itu, beliau pandai ambil hati murid-murid di dalam kelasnya. Beliau seorang yang berdedikasi.
Pengorbanan cikgu sungguh besar ertinya kepada kami. Cikgu mengajar kami sehingga menjadi murid yang cemerlang. Kami boleh membaca dan menulis dalam pelbagai mata pelajaran dengan baik dan lancar.
            Kami berdoa semoga cikgu dapat menjalankan tugas di sekolah baharu dengan lebih cemerlang lagi. Jangan lupakan kami, anak-anak didik cikgu.
            Sekian, terima kasih.

Tajuk 2 : Ucapan Sambutan Hari Guru

            Selamat pagi dan salam sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Guru Besar, Guru Penolong Kanan Akademik dan Kokurikulum, guru-guru, serta rakan sekalian. Terlebih dahulu saya mengucapkan ribuan terima kasih kerana diberikan kesempatan berucap pada majlis yang gilang-gemilang ini.
Guru-guru serta rakan yang dihormati,
            Seperti yang kita semua sedia maklum, tujuan kita berhimpun di dalam dewan ini adalah untuk meraikan sambutan hari guru sekolah ini. Guru-guru merupakan insan yang amat berjasa dalam hidup kita. Guru-guru ibarat lilin yang menerangi hidup kita. Para guru sentiasa berkorban untuk memastikan kejayaan kita dalam pelajaran, seterusnya dalam kehidupan. Oleh itu, adalah wajar jasa guru-guru sentiasa dihargai.
            Guru-guru adalah pengganti ibu bapa di sekolah. Selain mengajar kita, guru berperanan mendidik dan memantau tingkah laku murid untuk memastikan murid memiliki sahsiah yang betul dan menjadi manusia yang berguna. Oleh itu, kita seharusnya sentiasa taat kepada guru selain menunjukkan sikap hormat kepada mereka sepanjang masa.
            Dalam kesempatan ini, saya selaku ketua murid yang mewakili semua murid sekolah ini, ingin menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada para guru kerana telah mengajar dan mendidik kami dengan sempurna. Segala jasa guru tidak akan kami lupakan sepanjang hayat.
            Akhir kata, kami sentiasa mendoakan kesejahteraan semua guru di sekolah ini. Selamat menyambut Hari Guru. Sekian, terima kasih.

CONTOH KARANGAN PERBAHASAN UPSR


Tajuk 1 : Tinggal Di Kampung Lebih Baik Daripada Tinggal Di Bandar

            Assalamualaikum dan salam sejahtera.
            Terima kasih saya ucapkan kepada Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, barisan hakim yang arif lagi saksama, pihak pembangkang yang disegani serta hadirin sekalian.
            Saya selaku pihak pencadang pertama amat menyokong tajuk perbahasan kita pada hari ini bahawa “Tinggal di kampung lebih baik daripada tinggal di bandar”.
            Sidang hadirin yang budiman,
            Suasana di kampung sunyi dan tidak sebising di bandar yang riuh-rendah. Keadaan ini berlaku disebabkan bunyi kenderaan. Selain itu, udara di kampung bersih, segar, dan nyaman kerana banyak pokok yang menghijau di sekitarnya. Pokok-pokok ini menghasilkan gas oksigen kepada manusia dan haiwan. Jalan raya di kampung tidaklah sesibuk di bandar yang sentiasa saja dibanjiri oleh kenderaan. Di kampung, jalan raya agak lengang kerana kurang kenderaan.
            Di samping itu, masyarakat kampung mengamalkan sikap tolong-menolong. Mereka melakukan kerja secara bergotong-royong, contohnya semasa kenduri-kendara, majlis perkahwinan, dan membersihkan kawasan kampung. Kos perbelanjaan harian orang yang tinggal di kampung adalah lebih murah dan menjimatkan. Mereka hanya perlu membeli bahan-bahan perencah sahaja untuk menyediakan hidangan pada waktu tengah hari. Sayuran, beras, daging, dan buah-buahan, semuanya ada.
            Oleh sebab masa sangat mencemburui saya, saya akhiri perdebatan saya dengan menyatakan dan menegaskan bahawa tinggal di kampung adalah lebih baik daripada tinggal di bandar.
            Sekian, terima kasih.

Tuesday 11 September 2012

CONTOH KARANGAN PENGALAMAN UPSR


Tajuk 1: Pengalaman Mengikuti Lawatan
A. Pendahuluan
- Bila pergi melawat
- Siapa yang menganjurkan lawatan tersebut
- Tujuan lawatan.
- Berapa ramai murid yang mengikuti
- Serta berapa orang guru pengiring

B. Isi-isi penting
ISI  1. Sebelum bertolak
- Pukul berapa.
- Berhimpun di tapak perhimpunan.
- Guru pengiring memberi  taklimat .
- Menaiki bas.
- Beratur semasa menaiki bas.

ISI 2.  Semasa berada di dalam bas
- Berbual-bual
- Menceritakan pengalaman masing-masing
- Makan dan minum sarapan, kuih dan air

ISI  3. Setelah sampai
- Waktu  tiba
- Siapa yang menyambut ketibaan
- Pegawai bertugas memberi taklimat ringkas serta maklumat mengenai Taman Hidupan Liar

ISI  4.   Aktiviti (apa yang di lihat  dan di buat)
- Melihat …..(pertunjukkan ,pameran, persembahan)
- Mengambil gambar
- Membeli cenderamata untuk diberi kepada ibu bapa

C. Penutup
- Selepas makan tengah hari
- Waktu pulang
- Tiba di sekolah dijemput ibu bapa
- Perasaan

Pengalaman Mengikuti Lawatan

Pada cuti sekolah yang lepas saya mengikuti  lawatan sambil belajar ke Taman Hidupan Liar. Lawatan tersebut dianjurkan oleh Persatuan Sains Sekolah Kebangsaan Taman Jaya. Tujuan lawatan adalah  untuk mendapatkan maklumat berkenaan haiwan-haiwan yang terdapat  di dalam hutan. Seramai 40 orang murid dan 5 orang guru pengiring menyertai  lawatan tersebut

Sebelum bertolak, murid-murid beratur di tapak perhimpunan pada pukul 8.00 pagi. Guru pengiring memberi taklimat dan nasihat supaya menjaga disiplin semasa berada di kawasan taman. Selepas memberi taklimat, guru-guru pengiring membawa kami menaiki bas rombongan. Kami beratur semasa menaiki bas tersebut.
Semasa berada di dalam bas kami berbual-bual dengan rakan-rakan. Ada juga rakan yang bercerita tentang pengalaman pernah ke Taman Hidupan Liar sebelum ini. Kami juga menikmati kuih-muih dan air kotak yang diberi semasa di dalam bas untuk mengalas perut.
Kami tiba di Taman Hidupan Liar pada jam 9.00 pagi. Selepas turun dari bas, pegawai yang bertugas menyambut ketibaan  kami. Beliau memberi taklimat ringkas serta maklumat tentang taman kepada kami.
Selepas itu, kami diberi peluang untuk melihat dari dekat binatang yang ada di dalam taman. Kami juga sempat melihat pertunjukkan burung yang telah dilatih untuk menghiburkan hati kami. Ada juga murid yang mengambil peluang mengambil gambar dan membeli cenderamata untuk dihadiahkan kepada ibu bapa.
Selepas menikmati makan tengah hari kami pulang pada jam 1.00 petang. Tiba di sekolah ibu bapa kami telah bersedia menjemput kami pulang ke rumah. Di dalam perjalanan pulang ke rumah, saya bercerita pengalaman yang menyeronokkan kepada ibu. Walaupun agak letih, saya  berasa sangat gembira. 

Tajuk 2 : Pengalaman Berkelah Bersama Keluarga 
A. Pendahuluan
- Bila ,siapa dan ke mana pergi
- Dengan apa
- Tujuan

B.  Isi-isi penting
ISI 1.  Sebelum pergi
- Persediaan…………
- Bawa bekalan makanan
- Bapa memeriksa kenderaan
- Jam berapa bertolak

ISI 2. Semasa dalam perjalanan
- Berbual-bual
- Melihat pemandangan dari dalam kereta

ISI 3. Semasa tiba
- Suasana tempat tersebut
- Menurunkan barang
- Cari tempat yang sesuai.

ISI 4. Aktiviti-aktiviti lain
- Mandi
- Membina istana pasir
- Membeli cenderamata
- Mengambil gambar

Penutup
- Waktu pulang.
- Perasaan
- Waktu tiba di rumah
Pengalaman Berkelah Bersama Keluarga

Pada cuti persekolahan yang lalu kami  sekeluarga pergi berkelah ke Pantai Pasir Tengkorak.. Kami ke sana dengan menaiki kereta yang dipandu oleh ayah . Kami ke sana kerana ingin bercuti di samping ingin merapatkan hubungan keluarga.
            Sebelum pergi  kami telah membuat persediaan yang rapi. Ibu menyiapkan bekalan makanan dan pakaian kami. Manakala ayah pula sibuk memeriksa kereta supaya dapat di bawa dengan selamat. Akhirnya kami sekeluarga mula bertolak pada jam 8.00 pagi.
Semasa dalam perjalanan ke tempat perkelahan itu kami sekeluarga berbual-bual. Saya pula mengambil peluang mengambil gambar keindahan alam semulajadi dari dalam kereta. Ada juga ahli keluarga saya yang tertidur di dalam kereta.
Kami tiba di Pantai Pasir Tengkorak pada jam 9.00 pagi. Suasana di tempat tersebut sangat meriah dengan ramai orang membawa keluarga masing-masing. Kami menolong ibu mengeluarkan barang-barang perkelahan. Ayah pula mencari tempat yang sesuai untuk membentang tikar. Selepas itu saya dan adik-adik menukar pakaian untuk mandi.
Selain mandi saya dan adik juga membina istana pasir. Setelah penat bermain dan mandi manda kami sekeluarga menikmati bekalan makanan  yang disiapkan oleh ibu. Setelah selesai makan, kami sempat mengambil gambar sebagai kenangan. Sebelum balik, kami juga sempat membeli cenderamata untuk dijadikan kenang-kenangan.
Pada jam 6.00 petang kami mula bertolak pulang. Perasaan kami pada masa tersebut sangat gembira dan seronok.  Akhirnya, kami tiba di rumah pada jam 7.00 malam.

Tajuk  3 : Perkhemahan Bersama Keluarga
            Pada minggu lepas, saya pergi berkhemah. Saya ke Air Terjum Kota Tinggi, Johor Darul Takzim bersama keluarga iaitu ayah, emak dan kakak.
            Kami bertolak dari rumah kira-kira pukul 11.00 pagi. Kami pergi ke sana dengan menaiki kereta Naza Ria yang baru ayah beli. Perjalanan kami ke tapak perkhemahan kira-kira 170 kilometer. Selepas tiga jam perjalanan, kami sampai di tapak perkhemahan kira-kira pada pukul 2.00 petang.
            Oh, indah sekali pemandangan di tapak perkhemahan!  Udaranya pula sungguh nyaman. Saya dan keluarga berasa amat gembira kerana dapat berkelah bersama-sama. Setiap orang daripada kami sibuk menjalankan tugas masing-masing. Saya menolong ayah mendirikan khemah manakala kakak menolong emak menyediakan makanan tengah hari yang telah dimasak di rumah.
            Deruan air menghempas batu menyebabkan saya tidak sabar lagi untuk bermandi-manda. Alangkah sejuk airnya, sehingga menusuk ke tulang membuatkan saya menggigil kesejukan. Kami semua berasa amat gembira bagaikan itik mendapat air.
            Selepas solat Maghrib, kami pun menikmati makanan yang disediakan ibu dengan berselera sekali. Aktiviti lasak pada siang hari menjadikan kami begitu lapar  hingga semua yang terhidang licin dalam sekelip mata. Sebelum tidur ayah menceritakan pengalaman suka duka berkhemah semasa kanak-kanak dahulu. Saya tidur mati oleh sebab keletihan.
            Keesokannya, selepas berkemas, kami pulang dengan perasaan gembira. Kami membawa bersama seribu kenangan manis.

Tajuk 4 : Pergi ke Pasar Malam

Pada malam Sabtu yang lalu, saya pergi ke pasar malam bersama keluarga. Pasar malam itu terletak berhampiran dengan rumah saya. Jaraknya dari rumah saya, kira-kira 100 meter sahaja. Kami ke sana berjalan kaki.
            Saya melihat orang berduyun-duyun ke pasar malam. Pelbagai barangan dijual di pasar malam dengan harga yang berpatutan. Antaranya ialah makanan, pakaian, keperluan dapur dan barang mainan. Saya dan emak membeli barang makanan dan keperluan dapur sahaja. Sementara itu, kakak dan ayah pergi ke gerai kuih-muih dan lauk-pauk.
            Suasana di pasar malam itu sungguh sibuk dan riuh-rendah. Cahaya neon yang berwarna-warni menerangi keadaan di pasar malam. Suasana di situ hingar-bingar dengan suara pembeli dan penjual tawar-menawar.
            Pasar malam merupakan syurga bagi pembeli manakala sumber pendapatan bagi penjaja kecil. Walaupun keletihan, kami pulang dengan perasaan riang dan berhasrat akan datang lagi pada minggu hadapan.

Saturday 8 September 2012

ETIKA PENGGUNAAN INTERNET


ETIKA PENGGUNAAN INTERNET
ETIKA KOMPUTER
1.         Etika komputer umumnya adalah satu bidang mengenai penggunaan komputer yang betul    (panduan).
2.         Hak peribadi individu, ketepatan dan kesahihan maklumat, harta intelek dan capaian adalah antara isu/dilema yang membabitkan etika penggunaan komputer dalam era maklumat
MASALAH MORAL DAN ETIKA
Terdapat beberapa masalah moral dan etika yang sering berlaku iaitu:
  •  Penggertak
  •  Penyalahgunaan internet
  •  Virus
  •  Hak cipta
  •  Perisian cetak rompak
A. Penggertak:
·  Cracker ialah golongan yang menceroboh ke dalam sistem komputer dan merosakkan sistem yang ada dengan tujuan utama membuat keuntungan.
·  Cracker tidak menulis program untuk membangunkan perisian tetapi menggunakanperisian yang dibangunkan orang lain untuk tujuan kemusnahan
B. Penyalahgunaan internet
· Konsep ‘langit terbuka’ yang dilaksanakan oleh negara kita telah mengundang banyak implikasi buruk kepada para pengguna Internet terutamanya di kalangan remaja.
C. Virus:
· Penyebaran virus - merosakkan sistem, data, perisian,melumpuhkan rangkaian computer.
C. Hak cipta terpelihara
· Memuat turun sebarang perisian atau dokumen tanpa kebenaran adalah salah dari segi undang-undang hakcipta. Keizinan daripada pemiliknya adalah perlu.
D. Perisian cetak rompak:
  • Maklumat yang diperolehi yang tidak mendapat kebenaran pemilik asal untuk dibuat cetakan secara tulisan dan audio visual.
PRINSIP ETIKA KOMPUTER
Keseimbangan
keizinan temaklum
keadilan
Meminimumkan risiko
PANDUAN KEPADA PENGGUNA KOMPUTER ADALAH SEPERTI BERIKUT
1. Tidak menggunakan komputer untuk membahayakan orang lain.
2. Tidak mengganggu kerja komputer orang lain.
3. Tidak menceroboh masuk fail komputer lain.
4. Tidak menggunakan komputer untuk mencuri.
5. Tidak menggunakan komputer untuk menipu.
6. Tidak menggunakan atau menyalin perisian yang tidak dibeli secara sah
7. Tidak menggunakan sumber dari komputer orang lain tanpa kebenaran.
8. Tidak mengambil hasil intelektual orang lain untuk diri sendiri.
9. Memikirkan kesan sosial program atau sistem yang dibangunkan.
10. Gunakanlah komputer dengan timbang rasa dan hormat kepada manusia lain.