Monday, 17 September 2012

CONTOH KARANGAN UCAPAN UPSR


Tajuk 1 : Ucapan Perpisahan Guru

            Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis, Yang berusaha Tuan Guru Besar, Encik Ramli bin Abu Bakar, Yang diraikan dan dikasihi, Cikgu Kamal, guru-guru yang disayangi dan rakan-rakan sekalian.
            Saya mewakili rakan-rakan sedarjah ingin menyatakan perasaan amat sedih dan pilu kerana terpaksa berpisah dengan seorang guru yang kami sayangi. Beliau yang saya maksudkan ialah Cikgu Kamal.
Guru-guru dan rakan-rakan sekalian.
            Cikgu Kamal akan menjalankan tugas sebagai pendidik di sekolah baharunya iaitu Sekolah Kebangsaan Tawau, Sabah mulai minggu hadapan. Kami suka akan sikap Cikgu Kamal kerana beliau seorang yang baik hati dan bertanggungjawab. Di samping itu, beliau pandai ambil hati murid-murid di dalam kelasnya. Beliau seorang yang berdedikasi.
Pengorbanan cikgu sungguh besar ertinya kepada kami. Cikgu mengajar kami sehingga menjadi murid yang cemerlang. Kami boleh membaca dan menulis dalam pelbagai mata pelajaran dengan baik dan lancar.
            Kami berdoa semoga cikgu dapat menjalankan tugas di sekolah baharu dengan lebih cemerlang lagi. Jangan lupakan kami, anak-anak didik cikgu.
            Sekian, terima kasih.

Tajuk 2 : Ucapan Sambutan Hari Guru

            Selamat pagi dan salam sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Guru Besar, Guru Penolong Kanan Akademik dan Kokurikulum, guru-guru, serta rakan sekalian. Terlebih dahulu saya mengucapkan ribuan terima kasih kerana diberikan kesempatan berucap pada majlis yang gilang-gemilang ini.
Guru-guru serta rakan yang dihormati,
            Seperti yang kita semua sedia maklum, tujuan kita berhimpun di dalam dewan ini adalah untuk meraikan sambutan hari guru sekolah ini. Guru-guru merupakan insan yang amat berjasa dalam hidup kita. Guru-guru ibarat lilin yang menerangi hidup kita. Para guru sentiasa berkorban untuk memastikan kejayaan kita dalam pelajaran, seterusnya dalam kehidupan. Oleh itu, adalah wajar jasa guru-guru sentiasa dihargai.
            Guru-guru adalah pengganti ibu bapa di sekolah. Selain mengajar kita, guru berperanan mendidik dan memantau tingkah laku murid untuk memastikan murid memiliki sahsiah yang betul dan menjadi manusia yang berguna. Oleh itu, kita seharusnya sentiasa taat kepada guru selain menunjukkan sikap hormat kepada mereka sepanjang masa.
            Dalam kesempatan ini, saya selaku ketua murid yang mewakili semua murid sekolah ini, ingin menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada para guru kerana telah mengajar dan mendidik kami dengan sempurna. Segala jasa guru tidak akan kami lupakan sepanjang hayat.
            Akhir kata, kami sentiasa mendoakan kesejahteraan semua guru di sekolah ini. Selamat menyambut Hari Guru. Sekian, terima kasih.

1 comment: